Sunday, January 2, 2011

NOTA KOMUNIKASI DARI PERSPEKTIF ISLAM

KOMUNIKASI DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
Keindahan agama Islam dapat dilihat daripada semua aspek yang ada di muka bumi termasuklah hubungan sesama manusia. Dalam konteks ini, komunikasi memainkan peranan yang amat penting memandangkan Allah s.w.t mewajibkan setiap hambanya berhubung antara satu sama lain walaupun antara mereka terdiri daripada kaum yang berlainan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hujurat .
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” .– Al-Hujurat 49:13
Ternyata sekali, komunikasi adalah medium paling sesuai bagi merealisasikan hubungan sesama manusia daripada berbilang kaum di seluruh pelusuk dunia. Tuntutan untuk berkomunikasi adalah bagi membina ukhwah dalam kalangan komuniti Muslim dan juga untuk membina hubungan baik dengan golongan bukan Islam.

BENTUK & JENIS KOMUNIKASI DALAM ISLAM

Komunikasi Islam pada dasarnya mempunyai dua bentuk yang utama iaitu secara menegak (vertikal) dan secara mendatar (horizontal).

JENIS-JENIS KOMUNIKASI MENURUT ISLAM
1. Komunikasi dengan Allah s.w.t (Hablum Minallah)
Komunikasi manusia dengan Allah s.w.t berbentuk vertikal. Dalam aspek ini hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah secara terus tanpa ada perantara di tengah-tengah. Kedudukan Allah s.w.t amat tinggi di atas kerana sifat Allah itu sebagai Pencipta Yang Maha Agung dan tiada satu apa pun di dalam alam semesta ini yang menyerupai atau sama dengan Allah. Maka dengan itu adalah wajib untuk setiap manusia menyembah Allah s.w.t.
Ada pelbagai cara bagaimana manusia boleh berkomunikasi dengan Allah s.w.t. Cara paling utama dan wajib adalah dengan menunaikan solat lima waktu selain daripada cara-cara lain seperti solat-solat sunat, berzikir, bertasbih, bertahmid dan sebagainya.
Sikap yang patuh dan ikhlas dalam menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t adalah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang mencerminkan peribadi seseorang Muslim itu. Kepatuhan dalam beribadah dapat dilihat dengan mata kasar oleh manusia. Namun begitu, keikhlasan dalam beribadah hanya boleh dilihat dan diketahui oleh Allah s.w.t.

2. Komunikasi dengan manusia
Komunikasi dengan manusia bentuknya mendatar atau horizontal. Komunikasi jenis ini amat besar dan mencakupi segala aspek kehidupan manusia. Bermula daripada komunikasi dengan diri sendiri sehinggalah dengan orang yang tidak dikenali, semua ini mempunyai cara dan etikanya yang tersendiri.
Dalam komuniti masyarakat yang besar dan luas komunikasi boleh dipecahkan kepada beberapa sudut. Antaranya komunikasi keluarga yang melihat kepada cara berkomunikasi dengan ibu bapa, adik beradik dan ahli keluarga lain dan komunikasi bermasyarakat yang banyak jenis antaranya komunikasi pekerjaan, komunikasi pendidikan, komunikasi perniagaan, dakwah dan sebagainya.

3. Komunikasi dengan alam
Sebagai khalifah dalam muka bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memelihara alam semulajadi untuk kebaikan sejagat. Alam semulajadi merujuk kepada alam sekeliling seperti sungai, laut, tanah, udara, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Komunikasi di sini dapat dilihat dengan kesungguhan kita menjaga alam sekitar seperti tidak membuang sampah merata-rata, tidak menzalimi haiwan dan tidak mencemar sungai dengan membuang sisa kilang ke dalamnya. Ini merupakan sebahagian daripada contoh-contoh penjagaan alam sekitar.

BERSAMBUNG.......

No comments:

Post a Comment

Post a Comment