Thursday, December 2, 2010

Moyang dan cicit....

Gambar ini diambil 2 tahun lalu di rumah saya. Gambar opah saya bersama dengan anak saya Husna (berumur 4 tahun ketika itu). Bila melihat gambar ini, rasa pilu memagut hati saya. Sekarang opah saya tidak lagi seperti di dalam gambar di atas. Pada saat saya mencoret kata-kata pada papan posting blog ini , opah saya sedang meraung-raung seorang diri di dalam bilik.

Pada usia 93 tahun, opah saya kini sudah menghidap alzheimer @ nyanyuk. Dia tidak kenal siapa cucu-cucunya lagi, dia juga tidak mengenali ramai saudara-mara kami, malahan dia memanggil ayah saya dengan nama yg tidak pernah dia gunakan sebelum ini.

Opah saya kini terlantar di atas katil dan sudah hilang upaya untuk menguruskan dirinya. Ayah saya sbg anak lelakilah yang menjalankan tanggungjawabnya menjaga opah saya. Saya tidak dapat mendekati opah saya kerana dia tidak mengizinkan saya menyentuh tubuhnya memandangkan saya sudah menjadi orang asing kepadanya.

Ketika muda, sebagai seorang wanita, opah saya ini agak hebat juga orangnya. Dia amat aktif dalam politik dan menjadi ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sejak tahun 1946. Opah saya pernah menjadi Ketua Kaum Ibu @ Ketua Wanita UMNO Batu Gajah, Perak pada sekitar tahun 70an.

Opah saya adalah sebahagian daripada pejuang kemerdekaan yang mendokong semangat cintakan tanah air dan agama. Perjuangannya adalah perjuangan tulus ikhlas untuk negara. Unconditional love towards the country.

Lebih kurang 9 tahun lalu (ketika opah masih sihat) saya pernah membawa opah saya menyusuri jalan Tun Razak, melalui hadapan PWTC. Saya ingat lagi ketika itu, dia sangat teruja dan gembira melihat bangunan UMNO yang tersergam. Saya dapat melihat kebanggan pada wajahnya, seolah-olah melihat seorang anak sedang menerima ijazah ketika konvokesyen. Iya, itulah analogi yang dapat saya fikirkan ketika itu.

Ramai mengatakan opah saya pasti senang kerana pernah menjadi ketua wanita UMNO, namun hakikatnya tidak langsung. Buktinya opah saya kini tiada apa2 harta pun, melainkan ahli keluarga sahaja.

Ketika dia mengundurkan diri (meletakkan jawatan) daripada dunia politik, dia tidak pernah membawa apa-apa kepentingan bersamanya. Namun dia tetap mengikuti perkembangan UMNO daripada jauh.

Itulah opah saya, Zabariah binti Daim.