Wednesday, January 26, 2011

7 tahun sudah..........



Pejam celik..pejam celik…tak sangka sudah tujuh tahun usia perkahwinan saya dan suami. Rasanya macam baru je lagi saya mula kenal dia. Dan sebenarnya masih lagi belajar mengenali. Kami sambut ulangtahun perkahwinan pada 22 Januari hari itu.


Dalam tempoh tujuh tahun ni macam-macam perk
ara mengenai suami telah saya pelajari. Pada awalnya, selepas tiga tahun berkahwin, saya rasa saya sudah cukup mengenali dia, tapi rupanya tidak. Ada sahaja ‘surprise’ yang menanti saya selepas itu…... sedikit demi sedikit sehinggalah sekarang. Saya rasa manusia tidak akan pernah tahu hati budi dan jiwa manusia lain sedalam-dalamnya. Perkara ini hanya ada dalam genggaman Allah s.w.t.

Berapa lama masa yang diperlukan untuk benar-benar mengenali dan faham seseorang itu? Lima tahun? 10 tahun? 30 tahun? Atau sebenarnya sampai bila-bila pun kita tidak akan kenal dan faham, sentiasa terkejut dan terperanjat dengan kenalan kita itu.

Apapun bagi saya, saya suka kepada elemen surprise dalam hidup. Pada saya tak jadi hal sekiranya suami atau mana-mana kenalan saya menonjolkan sikap yang berlainan dalam waktu dan ketika lain. Ia mencabar minda, ego dan emosi saya. Cabaran sebegini memberi banyak pengalaman mengenai perhubungan dan komunikasi dengan manusia. Ada nilai “adventure” di situ.

Saturday, January 22, 2011

Aku dan tunang adikku cum bakal adik ipar yg baru 1st time jumpa....

Kenapa baru first time jumpa tunang adik sendiri? Masa masuk meminang dia ni aku tkder ker? Memang takder pun...ahaks....

Masa cuti umum thaipusam ari tu saya ke KL utk beli buku...KL jer ada buku2 yg saya nak, kalau kt area Kajang (apatah lg semenyih & beranang) jgn harap la bleh dpt. Kebetulan adik saya, Nazem nk buat gambar dan skali la kuar ngan tunang dia...Itulah first time jumpa tunang adik saya ni...time tu kat2 Sogo (cheh mcm tkder tmpt lain)...Miza nama dia.

Saya cipta kenangan ngan Miza ni.Masa beli buku kat pustaka mukmin (ambik buku punyalah byk) tp terlupa nk keluarkan duit.So tk cukuplah duit dan apalagi sesiapa yg paling dekat jd mangsa la...ahaks.. baru first time jumpa bakal adik ipar dh pinjam duit dr dia..RM50.Buat malu jer...

Lepas kt jln TAR kami ke Suria KLCC lak...kat situ lepak lama la jugak.Ramai betul org, naik rimas dibuatnya....sampai nk solat pun kena beratur tunggu tmpt kosong...tulah dh terbiasa duduk kws luar bandar yg tenang lg releks, tetiba sekali-sekala masuk KL rasa lemas pulak.....

Tapi apa pun hari itu adalah hari yg menyeronokkan. Thanx Miza for your company and your RM50...hahaha..
gambar ngan miza kt concourse Suria KLCC...blakang tu replika tanglung...mmg cantik ( kalau tk tkkan nyer nk bergambar kt situ pun...)

Friday, January 21, 2011

Duit dan hamba

Kisah lori yg bawa duit syiling sebanyak RM75,000 terbalik kat lebuhraya PLUS berhampiran susur masuk Pedas baru-baru ni buat saya berfikir. Pelik dengan perangai manusia yang semakin ‘insensitive’. Kenapa boleh jadi serendah itu? Ambil sesuatu yg sah-sah bukan hak kita…..

Hakikatnya sedar atau tidak kita semua sudah jadi hamba duit. Ada tk dlm hidup awak semua selama ni ada terjadi mana2 kes kt bawah ni? (Tapi kalau tkder langsung, memang kasi tabik spring sama korang)

1. Tak boleh nak lepak kt luar pasal tak cukup duit.

2. Kena tahan rasa nak buang air pasal tk der duit kecik nk masuk tandas awam.

3. Belum pun sampai tengah bulan, terpaksa pinjam duit dpd mak ayah.

4. Lebih rela tukar sport rim kereta dpd bg mak duit beli barang dapur (padahal duduk skali ngan mak ayah…tak yah bayar sewa rumah, bil astro, bil letrik ngan air semua free).

5. Teruja berlebihan bila terdengar ada sales kat Sogo.

6. Main keluar jer duit dpd ATM tanpa tengok baki terlebih dahulu.

7. Gaji (atau biasiswa?) blum dpt lg tapi dah berangan nk tukar handphone.

8. Kasut, handbag, baju, tudung mesti matching…kalau ada 50 baju kena ada 50 kasut, 50 tudung (handbag mungkin tk sampai 50 la kan…)

Ini antara petanda2 yang kita ni semua dh jadi hamba duit…Duitlah yg menyeru org supaya jadi materialistik. List kt atas tu cuma kes biasa2 dan kecik2 jer blum lagi masuk rasuah, komisen dan riba’ serta tidak lupa juga beristeri lebih daripada sorang…ahaks.

Bak kata ayah saya, duit ni berhantu. Adik-beradik pun boleh bermusuhan pasal duit. Kalau adik-beradik boleh sampai jadi musuh, tak ker memang betul duit dah jadi ‘tuan’ kita?

Kita ni sebenarnya yang kena jadi tuan, bukannya duit yg jadi tuan. Sebab itulah dalam Islam ada elemen zakat dan bersedekah. Saya rasa semua sedia maklum tentang perkara ni. Tak perlu saya nk bg tazkirah.

Mana kita nak sebenarnya dalam hidup ni? Jadi hamba Allah s.w.t ke @ jadi hamba duit? Congak-congakkanlah……

Sunday, January 2, 2011

sambungan Etika komunikasi Islam

5. Kebaikan berkata baikTanda orang beriman adalah melalui tutur katanya yang baik. Menurut Abu Musa, seseorang pernah bertanya Rasulullah s.a.w : “Siapakah Islamnya yang terbaik?” Baginda menjawab : “Mereka yang mengelak daripada menyakiti orang Islam lain melalui tangan atau lidahnya.” Hadis riwayat Al-Bukhari.
Imam al-Ghazali pernah menyatakan lidah manusia adalah alat untuk bertutur. Ia adalah suatu anugerah daripada Allah s.w.t kepada manusia. Allah mencipta lidah dengan amat unik sekali. Walaupun ianya kecil, fungsi lidah amat penting memandangkan ia boleh memberi kesan yang baik atau buruk kepada pemiliknya. Maka dengan itu adalah penting untuk manusia menjaga lidanhnya kerana lidah lebih tajam daripada mata pedang.

TAMAT……

sambungan Etika komunikasi Islam

3. Tidak boleh berdendam, mengutuk dan memfitnah
Islam melarang keras ketiga-tiga sifat ini kerana tiada kebaikan langsung yang dapat diperolehi daripadanya melainkan kesedihan semata-mata. Mengutuk dan memfitnah boleh melahirkan dendam. Mengutuk hanya melahirkan kutukan yang lain. Sekiranya tidak dihentikan, kutuk-mengutuk ini akan berterusan dan sampai suatu masa perpecahan akan berlaku.
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda dosa yang paling berat apabila seseorang itu mengutuk ibu bapanya sendiri.
Menurut Abdullah Ibn Amr, Rasulullah s.a.w bersabda : “Satu daripada dosa berat adalah apabila seseorang itu mengutuk ibu bapanya.” Bertanya pula seseorang, “Wahai Rasulullah. Bagaimana seseorang itu boleh mengutuk ibu bapanya sendiri?” Maka jawab Rasulullah s.a.w, “Dia mengutuk ibu bapa seseorang dan orang tersebut menghina ibu bapanya pula sebagai balasan.” Hadis riwayat Al-Bukhari.
Apabila manusia tidak mengutuk dan memfitnah, maka dendam tidak akan berlaku. Oleh yang demikian, kekuatan ukhwah dalam komuniti akan bertambah teguh.


4. Memberi salam (as-salamu alaykum)
Nabi Muhammad s.a.w menekankan kepentingan memberi salam kepada sesama Islam kerana ia melambangkan kasih sayang dan juga untuk membentuk keharmonian dan keamanan dalam komuniti Islam.
Menurut Abdullah Ibn Amr, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Siapakah Islamnya lebih baik?” Rasullah s.a.w bersabda : “Mereka yang memberi makan kepada orang lain dan memberi salam kepada orang yang dikenalinya dan juga orang yang tidak dikenalinya.” Hadis riwayat Al-Bukhari.
Maksud as-salamu alaykum itu sendiri iaitu salam sejahtera ke atas kamu telah mewakili suatu doa kepada sesama Islam. Maka dengan itu kita dianjurkan untuk mempraktikkannya tanpa rasa segan silu.
Walau bagaimanapun orang Islam perlu menjawab “alaykum” apabila orang bukan Islam memberi salam (as-salamu alaykum) kepadanya.

BERSAMBUNG.....

ETIKA KOMUNIKASI ISLAM

1. Mengeluarkan kata-kata yang baik dan berhemah sesama manusia
Allah s.w.t menyeru semua umat Islam menggunakan kata-kata yang baik ketika berbicara dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, pangkat ataupun agama. Seruan suci Allah ini terdapat di dalam ayat 83 surah al-Baqarah.
“…berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat,
anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan bertutur
katalah yang baik kepada manusia…”

Islam menitikberatkan amalan kata-kata yang baik dan berhemah untuk menjaga hubungan sesama manusia dan untuk menjaga ukhwah umat Islam. Lontaran kata-kata kesat boleh menyebabkan pergaduhan dan dendam.

2. Mengeluarkan kata-kata yang baik walaupun kepada musuh
Orang Islam dituntut mengeluarkan kata-kata yang baik walaupun kepada musuh sendiri. Seruan suci Allah s.w.t ini dapat dilihat dalam ayat 43-44 surah Taha, apabila Allah s.w.t menitahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s berjumpa dengan Firaun.
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah
benar-benar melampaui batas; maka berbicaralah kamu
berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah
lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.”

Pendirian Islam dalam menjaga adab pertuturan diperkuatkan lagi apabila Allah menyeru umat Islam supaya mengeluarkan kata-kata berhemah dengan musuh sendiri. Fungsinya antara lain adalah sebagai pemudahcara dalam menyelesaikan konflik dengan musuh. Secara tidak langsung, sikap berlembut dengan musuh boleh dijadikan sebagai medium dakwah yang berkesan. Mudah-mudahan musuh-musuh Islam tertarik untuk mengenali agama Islam melalui sikap dan tutur kata yang baik itu.

BERSAMBUNG.....

NOTA KOMUNIKASI DARI PERSPEKTIF ISLAM

KOMUNIKASI DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
Keindahan agama Islam dapat dilihat daripada semua aspek yang ada di muka bumi termasuklah hubungan sesama manusia. Dalam konteks ini, komunikasi memainkan peranan yang amat penting memandangkan Allah s.w.t mewajibkan setiap hambanya berhubung antara satu sama lain walaupun antara mereka terdiri daripada kaum yang berlainan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hujurat .
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” .– Al-Hujurat 49:13
Ternyata sekali, komunikasi adalah medium paling sesuai bagi merealisasikan hubungan sesama manusia daripada berbilang kaum di seluruh pelusuk dunia. Tuntutan untuk berkomunikasi adalah bagi membina ukhwah dalam kalangan komuniti Muslim dan juga untuk membina hubungan baik dengan golongan bukan Islam.

BENTUK & JENIS KOMUNIKASI DALAM ISLAM

Komunikasi Islam pada dasarnya mempunyai dua bentuk yang utama iaitu secara menegak (vertikal) dan secara mendatar (horizontal).

JENIS-JENIS KOMUNIKASI MENURUT ISLAM
1. Komunikasi dengan Allah s.w.t (Hablum Minallah)
Komunikasi manusia dengan Allah s.w.t berbentuk vertikal. Dalam aspek ini hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah secara terus tanpa ada perantara di tengah-tengah. Kedudukan Allah s.w.t amat tinggi di atas kerana sifat Allah itu sebagai Pencipta Yang Maha Agung dan tiada satu apa pun di dalam alam semesta ini yang menyerupai atau sama dengan Allah. Maka dengan itu adalah wajib untuk setiap manusia menyembah Allah s.w.t.
Ada pelbagai cara bagaimana manusia boleh berkomunikasi dengan Allah s.w.t. Cara paling utama dan wajib adalah dengan menunaikan solat lima waktu selain daripada cara-cara lain seperti solat-solat sunat, berzikir, bertasbih, bertahmid dan sebagainya.
Sikap yang patuh dan ikhlas dalam menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t adalah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang mencerminkan peribadi seseorang Muslim itu. Kepatuhan dalam beribadah dapat dilihat dengan mata kasar oleh manusia. Namun begitu, keikhlasan dalam beribadah hanya boleh dilihat dan diketahui oleh Allah s.w.t.

2. Komunikasi dengan manusia
Komunikasi dengan manusia bentuknya mendatar atau horizontal. Komunikasi jenis ini amat besar dan mencakupi segala aspek kehidupan manusia. Bermula daripada komunikasi dengan diri sendiri sehinggalah dengan orang yang tidak dikenali, semua ini mempunyai cara dan etikanya yang tersendiri.
Dalam komuniti masyarakat yang besar dan luas komunikasi boleh dipecahkan kepada beberapa sudut. Antaranya komunikasi keluarga yang melihat kepada cara berkomunikasi dengan ibu bapa, adik beradik dan ahli keluarga lain dan komunikasi bermasyarakat yang banyak jenis antaranya komunikasi pekerjaan, komunikasi pendidikan, komunikasi perniagaan, dakwah dan sebagainya.

3. Komunikasi dengan alam
Sebagai khalifah dalam muka bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memelihara alam semulajadi untuk kebaikan sejagat. Alam semulajadi merujuk kepada alam sekeliling seperti sungai, laut, tanah, udara, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Komunikasi di sini dapat dilihat dengan kesungguhan kita menjaga alam sekitar seperti tidak membuang sampah merata-rata, tidak menzalimi haiwan dan tidak mencemar sungai dengan membuang sisa kilang ke dalamnya. Ini merupakan sebahagian daripada contoh-contoh penjagaan alam sekitar.

BERSAMBUNG.......